fb fb fb fb fb

Banjir musnahkan 1.1 juta tan beras di Bangladesh

Banjir besar di Bangladesh telah memusnahkan kira-kira 1.1 juta tan metrik beras / Foto Reuters

DHAKA, 21 Oktober – Banjir besar di Bangladesh telah memusnahkan kira-kira 1.1 juta tan metrik beras.

Ini memaksa negara itu meningkatkan import bahan makanan utama tersebut di tengah-tengah kenaikan harga makanan yang melambung tinggi.

Banjir yang dibawa oleh hujan monsun lebat dan aliran deras dari kawasan hulu telah melanda Bangladesh dalam dua gelombang besar pada Ogos dan Oktober.

Bencana itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 75 kematian serta menjejaskan jutaan penduduk, khususnya di wilayah timur dan utara, di mana kerosakan tanaman paling teruk berlaku.

Kementerian Pertanian memaklumkan banjir tahun ini telah mengakibatkan kehilangan besar dalam pengeluaran beras negara.

Sebagai tindak balas, kerajaan bergerak pantas untuk mengimport sebanyak 500,000 tan beras dimana sektor swasta juga dijangka diberi kebenaran untuk turut mengimport beras tidak lama lagi, menurut seorang pegawai dari Kementerian Makanan.

Kerajaan interim, yang memegang tampuk kuasa sejak Ogos selepas protes besar-besaran yang memaksa bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina melarikan diri ke India, kini sedang berusaha menstabilkan harga makanan yang telah melonjak hampir 20 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Peningkatan import dijangka memberi manfaat kepada negara jiran India, pengeksport beras terbesar di dunia.

India sebelum ini telah mengurangkan cukai eksport beras parboiled kepada 10 peratus bulan lalu.

Selain beras, banjir turut menjejaskan hasil pertanian lain, termasuk lebih 200,000 tan sayur-sayuran.

Jumlah keseluruhan kerugian pertanian di seluruh negara akibat banjir dianggarkan sekitar 45 bilion taka (AS$380 juta).-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN