fb fb fb fb fb

AS siasat kebocoran risikan rancangan serangan Israel ke Iran

Speaker Dewan Rakyat AS, Mike Johnson / Foto Reuters

NEW YORK, 21 Oktober - Amerika Syarikat (AS) sedang menyiasat kebocoran dua dokumen risikan sulit yang menerangkan persediaan Israel untuk serangan balas terhadap Iran.

Speaker Dewan Rakyat AS, Mike Johnson berkata dokumen yang disediakan Agensi Risikan Geospatial Kebangsaan itu menggambarkan tafsiran AS mengenai perancangan Tentera Udara dan Tentera Laut Israel berdasarkan imej satelit yang diperoleh dari 15 hingga 16 Oktober.

Dokumen itu mula tersebar di aplikasi pesanan Telegram minggu lalu.

Israel kini merancang tindak balas terhadap serangan peluru berpandu balistik yang dilakukan oleh Iran pada 1 Oktober, yang merupakan serangan langsung kedua dalam tempoh enam bulan.

Ini berikutan intensifikasi serangan Israel di Gaza dan Lubnan, beberapa hari selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Yahya Sinwar.

Dalam satu temu bual bersama CNN, Johnson menyatakan, "Siasatan sedang dijalankan dan akan mendapat taklimat mengenainya,".

Agensi Risikan Geospatial Kebangsaan dan Pejabat Pengarah Risikan Kebangsaan tidak segera memberikan komen apabila diminta, sementara Pentagon menyatakan bahawa mereka sedang menyiasat laporan kebocoran tersebut.

Menurut laporan The New York Times, pegawai-pegawai mengakui secara peribadi bahawa dokumen tersebut adalah tulen, namun ianya hanya mewakili sebahagian daripada maklumat yang dimiliki oleh AS mengenai perancangan sekutunya.

Dokumen pertama bertajuk "Israel: Tentera Udara Terus Membuat Persediaan untuk Serangan ke atas Iran dan Melaksanakan Latihan Penggunaan Pasukan Besar yang Kedua," yang menerangkan aktiviti termasuk pengendalian peluru berpandu balistik dan peluru berpandu udara ke permukaan.

Dokumen kedua pula bertajuk "Israel: Angkatan Pertahanan Terus Membuat Persediaan Peluru Utama dan Aktiviti UAV Rahsia yang Hampir Pasti untuk Serangan ke atas Iran." UAV, yang juga dikenali sebagai dron, turut disebut dalam dokumen tersebut.

Presiden AS Joe Biden, ketika menjawab soalan daripada wartawan minggu lalu berkata beliau mempunyai pemahaman yang baik tentang bila dan bagaimana Israel akan menyerang Iran.

Namun, beliau juga menyatakan bahawa terdapat peluang untuk menamatkan serangan berulang antara dua musuh tersebut.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN