fb fb fb fb fb

PM Jepun berdepan sokongan 'dingin' menjelang pilihan raya - Tinjauan

Shigeru Ishiba / Foto AFP

TOKYO, 21 Oktober - Penarafan sokongan untuk Perdana Menteri Jepun yang baharu, Shigeru Ishiba tidak terlalu bersemangat menjelang pilihan raya umum pada 27 Oktober, menurut dapatan tinjauan yang dilakukan pada hujung minggu.

Tinjauan lain menunjukkan bahawa gabungan pemerintah mungkin menghadapi kesulitan untuk mendapatkan majoriti.

Bekas Menteri Pertahanan itu dipilih sebagai pemimpin Parti Demokratik Liberal (LDP), yang memerintah sejak Perang Dunia Pertama.

Skandal mengenai pembiayaan dan hubungan anggota LDP dengan Gereja Unifikasi, ditambah dengan ketidakpuasan pengundi terhadap kenaikan harga, telah menyebabkan sokongan kepada LDP merudum semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri sebelumnya, Fumio Kishida.

Dapatan tinjauan Kyodo News pada Sabtu dan Ahad menunjukkan bahawa penarafan sokongan kabinet Ishiba kini berada pada 41.4 peratus, turun dari 42.0 peratus seminggu sebelumnya.

Penarafan ketidakpuasan berada pada 40.4 peratus dalam tinjauan terkini yang melibatkan kira-kira 1,260 pengundi, berbanding 36.7 peratus dalam tinjauan pada 12-13 Oktober.

Dapatan tinjauan berasingan oleh akhbar Asahi Shimbun, yang cenderung kepada liberal, mendapati sokongan awam terhadap kabinet Ishiba berada pada 33 peratus, bawah 39 peratus yang tidak bersetuju.

Keputusan tersebut adalah lebih teruk daripada yang dihadapi Kishida pada tahun 2021 menjelang Pilihan Raya Umum pertamanya sebagai Perdana Menteri, 42 peratus kelulusan berbanding 31 peratus ketidakpuasan.

Akhbar harian itu melaporkan, tinjauan mereka menunjukkan bahawa LDP dan rakan gabungan yang lebih kecil, Komeito, berisiko kehilangan majoriti pada undi yang akan datang.

Jiji Press melaporkan, tinjauan dan laporan mereka menunjukkan gabungan tersebut mungkin mengekalkan majoriti, walaupun LDP mungkin tidak mencapai ambang tersebut.

LDP sebuah parti konservatif dan Komeito, sebuah parti sederhana yang disokong oleh kumpulan berkait dengan Buddha, telah berkuasa sejak 2012 apabila bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe memperoleh kemenangan besar.

"Tanpa mengira sama ada kami kehilangan majoriti atau tidak, kami harus mengadakan perbincangan positif dengan parti-parti yang berusaha membangunkan negara dengan polisi yang sama," kata Setiausaha Agung LDP, Hiroshi Moriyama, dalam program debat politik yang disiarkan oleh penyiar awam NHK pada Ahad.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN