fb fb fb fb fb

Bolsonaro dibenarkan keluar hospital, kembali jalani hukuman penjara

Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro/REUTERS

BRASILIA, 1 Januari- Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dijangka dibenarkan keluar dari Hospital DF Star pada Khamis (1 Januari), selepas menjalani pembedahan konvensional bagi membaiki hernia inguinal bilateral.

Menurut kenyataan hospital, keadaan kesihatan Bolsonaro menunjukkan peningkatan termasuk episod sedu yang dialaminya, namun masalah esofagitis dan gastritis masih berterusan.

Bolsonaro sebelum ini dibebaskan sementara dari penjara minggu lalu bagi menjalani rawatan hernia, sebelum menjalani satu prosedur tidak berjadual pada Selasa bagi merawat masalah sedu berpanjangan.

Media tempatan melaporkan beliau dijangka kembali ke Ibu Pejabat Polis Persekutuan untuk meneruskan hukuman penjara selepas discaj dari hospital.

Bolsonaro, 70 tahun, telah menjalani dua prosedur pembedahan di sebuah hospital di Brasilia sejak Sabtu lalu atas masalah yang sama, selain pembedahan hernia.

Pada November, bekas presiden itu mula menjalani hukuman penjara selama 27 tahun selepas didapati bersalah merancang rampasan kuasa susulan kekalahannya dalam pilihan raya 2022. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM