MOSCOW, 1 Januari- Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi penghormatan khas kepada tenteranya yang bertempur di Ukraine dengan menyifatkan mereka adalah wira.
Penghargaan itu dimaklumkan semasa ucapan tahun baharu yang disiarkan secara langsung, sambil menyatakan keyakinannya terhadap pasukan ketenteraan serta kemenangan dalam perang yang digambarkan sebagai perjuangan hidup mati menentang kuasa Barat.
Putin yang mengenakan pakaian kot hitam turut menegaskan bahawa kedaulatan dan keselamatan Rusia terjamin.
"Jutaan rakyat Rusia bersamamu pada malam tahun baharu ini. Mereka memikirkan kamu, merasa empati dengan kamu dan mendoakanmu."
"Saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua tentera dan komandan! Kami percaya kepada kamu dan kepada kemenangan kami," kata Putin.
Ucapan itu, yang pertama kali disiarkan di timur jauh Rusia, disampaikan ketika Moscow menyiarkan rakaman video yang didakwa menunjukkan sebuah dron yang ditembak jatuh, sebagai bukti percubaan serangan Ukraine terhadap kediaman presiden minggu ini.
Bagaimanapun, Kiev menafikan dakwaan Rusia itu dan menyifatkannya sebagai pembohongan untuk menggagalkan rundingan damai.
Dalam satu lagi video yang disiarkan pada Rabu (31 Disember), pegawai tentera tertinggi Rusia mengarahkan tenteranya terus mewujudkan zon penampan di wilayah Sumy dan Kharkiv di Ukraine, sambil memaklumkan bahawa tentera Moscow mencatat kemajuan lebih pantas pada Disember berbanding mana-mana bulan lain pada 2025.
Konflik yang hampir berusia empat tahun itu merupakan peperangan paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, walaupun kedudukan rundingan kedua-dua pihak masih jauh berbeza. -REUTERS
