GAZA, 1 Januari- Sempena tahun baharu 2026, penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Khan Yunis, Gaza meluahkan harapan agar keamanan dan keselamatan terus berpihak kepada mereka selain peluang kembali ke kediaman masing-masing.
Seorang penduduk, Yacoub Al Kaqarna, menyifatkan tahun 2025 sebagai tempoh paling sukar pernah dilalui keluarganya, sambil menegaskan bahawa mereka hanya menginginkan keamanan dan penamatan konflik.
"Tahun 2025 merupakan tempoh paling sukar buat kami. Tiada kebahagiaan, tiada ketenangan dan tiada kelegaan. Apa yang berlaku ketika musim sejuk jelas memperlihatkan penderitaan kami, apabila ramai tidak tahu ke mana harus dituju," kata Yacoub.
Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, mencapai persetujuan gencatan senjata pada Oktober lalu selepas dua tahun pengeboman dan operasi ketenteraan intensif Israel di Gaza, susulan serangan maut oleh pejuang pimpinan Hamas ke atas komuniti Israel pada Oktober 2023.
Walaupun keganasan dilaporkan berkurangan sejak gencatan senjata berkuat kuasa, ia masih berterusan dengan kedua-dua pihak saling menuduh melakukan pelanggaran perjanjian.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan lebih 400 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan Israel sejak perjanjian itu dimeterai. -REUTERS
