fb fb fb fb fb

Prabowo anjur permukiman kabinet di akademi tentera

Foto Reuters

JAKARTA, 21 Oktober – Presiden baharu Indonesia, Prabowo Subianto, merancang untuk membawa anggota kabinetnya menjalani permukiman selama tiga hari di sebuah akademi tentera yang terletak di kawasan pergunungan Jawa, di mana mereka dijadualkan untuk tidur di dalam khemah.

Ini merupakan satu permulaan yang luar biasa bagi pentadbiran kerajaan di negara Asia Tenggara tersebut.

Agenda pertama yang dirancang ialah permukiman yang akan diadakan hujung minggu ini di sebuah akademi tentera di Magelang, Jawa Tengah, dikelilingi oleh kawasan gunung berapi, kira-kira 500 km di timur Jakarta.

Menurut Menteri Perlindungan Migran, Abdul Kadir Karding permukiman itu bertujuan untuk mewujudkan hubungan yang kukuh antara kira-kira 100 menteri kabinet dan timbalan mereka, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ahli politik, teknokrat, bekas pegawai tentera dan pemimpin agama.

“Prabowo mahu memastikan semua anggota kabinet memahami visinya, supaya kami dapat bekerjasama dengan lebih baik. Beliau sentiasa menekankan kepentingan kesepaduan,” kata Karding.

Tambahnya, modul antirasuah juga akan menjadi sebahagian daripada sesi yang akan dibincangkan dalam permukiman tersebut. Semua menteri dijangka tidur di dalam khemah, katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Koperasi, Budi Arie Setiadi, 55, mengesahkan bahawa permukiman akan diadakan dari hari Jumaat hingga Ahad, 25 hingga 27 Oktober.

Aktiviti permukiman seperti itu bukanlah sesuatu yang baharu bagi Prabowo, dan ia mencerminkan gaya kepimpinannya.

Parti politik yang dipimpinnya, Gerindra, sering menganjurkan acara serupa di estet Hambalang milik Prabowo, yang terletak di selatan Jakarta.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN