fb fb fb fb fb

Tentera Laut Rusia tiba di Myanmar untuk latihan bersama

Foto AFP

YANGON, 21 Oktober – Beberapa buah kapal Tentera Laut Rusia tiba di Myanmar untuk menyertai latihan maritim bersama dengan Tentera Laut Junta.

Empat korvet dan sebuah kapal logistik dari Armada Pasifik Rusia tiba di pelabuhan Thilawa di Yangon pada Ahad untuk menyertai latihan keselamatan maritim bersama Myanmar-Rusia.

Latihan tersebut akan melibatkan fasa pelabuhan, namun butiran lanjut mengenai latihan itu tidak didedahkan.

Kedua-dua Tentera Laut Rusia dan Myanmar sebelum ini telah mengadakan latihan bersama di Laut Andaman pada November, tahun lalu.

Selain China, Rusia merupakan sekutu rapat Junta Myanmar, memberikan sokongan dari segi persenjataan dan diplomasi ketika tentera Myanmar bergelut untuk mematahkan tentangan bersenjata terhadap pemerintahan mereka.

Ketua Junta, Min Aung Hlaing, telah beberapa kali melawat Rusia sejak memimpin rampasan kuasa pada tahun 2021, termasuk pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin pada tahun 2022.

Rusia telah menyatakan sokongan terhadap rancangan pilihan raya yang dirancang oleh Junta, dan sebagai balasan, Myanmar menyokong pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dengan menyifatkannya sebagai tindakan "wajar".

Ogos lalu, China, sekutu utama Junta menyatakan sokongannya terhadap rancangan pilihan raya tentera.

Menurut sumber yang rapat dengan tentera, Min Aung Hlaing dijangka melakukan lawatan ke China pada November, yang merupakan lawatan pertama beliau ke negara itu sejak rampasan kuasa. -AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN