fb fb fb fb fb

Ilmuwan Islam, Fethullah Gulen meninggal dunia

Fethullah Gulen / Foto Reuters

ISTANBUL, 21 Oktober – Televisyen awam Turkiye pada Isnin melaporkan bahawa Fethullah Gulen, seorang ilmuwan Islam yang menetap di Amerika Syarikat (AS), telah meninggal dunia.

Gulen, yang didakwa oleh kerajaan Turkiye sebagai dalang di sebalik rampasan kuasa pada tahun 2016, dilaporkan meninggal dunia di hospital.

Sumber daripada kumpulan yang rapat dengan Gulen memaklumkan mengenai kematiannya menerusi hantaran di X dan media sosial.

Gulen, yang berusia 83 tahun, telah lama menetap di Pennsylvania sejak tahun 1999.

Gulen memimpin sebuah gerakan yang dikenali sebagai Hizmet, namun beliau dituduh oleh kerajaan Turkiye mengetuai sebuah kumpulan yang dilabel sebagai "pengganas" dan merancang cubaan rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 2016.

Bagaimanapun, Gulen secara konsisten menafikan tuduhan tersebut.

Pada tahun 2017, Gulen dilucutkan kewarganegaraan Turkiye sebagai sebahagian daripada tindakan keras kerajaan terhadap pengikutnya selepas cubaan rampasan kuasa itu.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN