fb fb fb fb fb

Prabowo pertahan rancangan bentuk kabinet 'Gemuk'

Presiden baharu Indonesia/ Prabowo Subianto/Foto REUTERS

JAKARTA, 10 Oktober-Presiden Indonesia yang baharu, Prabowo Subianto hari ini mempertahankan rancangannya untuk memperluaskan agensi-agensi kerajaan sedia ada sambil menegaskan bahawa langkah tersebut perlu untuk membentuk pentadbiran yang kuat.

Rancangan berkenaan mendapat kritikan meluas pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai membebankan saiz kabinet Prabowo-Gibran di samping bakal menambah tekanan birokrasi.

Prabowo, yang akan mengangkat sumpah pada 20 Oktober depan , merancang untuk menambah kira-kira 10 kementerian dan agensi baharu, iaitu satu langkah yang dilihat sebagai cara untuk mencipta jawatan tertinggi bagi ahli politik dalam gabungan partinya.

"Saya mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersatu padu dan kuat," katanya pada sebuah Forum Ekonomi pada Rabu.

"Gabungan itu mesti besar, dan ada yang akan mengatakan kabinet saya gemuk."

Prabowo turut memberi bayangan bahawa kabinet baharu itu nanti akan mengekalkan ramai menteri dari pentadbiran Presiden Jokowi yang akan tamat tempoh dan menyatakan bahawa keputusan akan dibuat berdasarkan merit.

Kabinet baharu itu akan terdiri daripada golongan bukan ahli politik, wakil-wakil parti, dan berkemungkinan akan diumumkan sehari selepas majlis angkat sumpah, kata sumber yang rapat dengan Prabowo.

Sumber berkenaan turut menyatakan bahawa beberapa ketua dan pegawai kanan parti gabungan akan diberikan kerusi menteri termasuk beberapa penyandang seperti Menteri Tenaga Bahlil Lahadalia, Menteri Perdagangan Zulkifli Hasan, dan Menteri Hal Ehwal Agraria dan Tata Ruang/Kepala Badan Pertanahan Nasional, Agus Harimurti Yudhoyono.

Penasihat-penasihat Prabowo turut berkata beliau merancang untuk mewujudkan sebuah kementerian perumahan bagi melaksanakan matlamatnya menyediakan kira-kira 3 juta rumah setiap tahun, serta sebuah badan pengawal selia karbon, dan memisahkan pejabat cukai dan kastam daripada Kementerian Kewangan bagi mewujudkan sebuah badan hasil negara.

Sebuah agensi pemakanan kebangsaan yang akan melaksanakan program makanan percuma berbilion dolar telah ditubuhkan Prabowo pada Ogos lepas.

Sementara itu,Timbalan Menteri Kewangan, Thomas Djiwandono, anak saudara Prabowo, berkata kepada Reuters bulan lepas bahawa perbelanjaan kerajaan yang akan datang kekal "dalam prinsip-prinsip berhemat fiskal", dengan pengurangan defisit belanjawan kepada 2.53% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini daripada anggaran 2.70% pada tahun 2024.

Prabowo turut mahu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi kepada 8% daripada 5% sambil menamatkan kemiskinan dan masalah kekurangan zat makanan dalam negara yang mempunyai kependudukan seramai 275 juta orang.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD