fb fb fb fb fb

Jutawan India, Ratan Tata meninggal dunia

Foto AFP

NEW DELHI, 10 Oktober- Tokoh perniagaan India dan bekas pengerusi konglomerat Tata Group, Ratan Tata meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Tata menerajui Tata Sons, syarikat induk Tata Group selama 21 tahun dan dihormati sebagai antara pemimpin perniagaan paling berpengaruh di India.

“Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami mengumumkan Ratan yang dikasihi telah meninggal dunia,” menurut kenyataan keluarganya.

Tata, meninggal dunia di sebuah hospital di Mumbai pada Rabu dan akan diberikan penghormatan negara dalam upacara pengebumian sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya.

Konglomerat tersebut mengawal syarikat-syarikat yang terlibat dalam pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk garam, keluli, perisian, syarikat penerbangan, tenaga, bahan kimia, telekomunikasi, hotel dan sistem ketenteraan.

Tata memainkan peranan penting dalam pengembangan global Tata Group pada 1990-an, sewaktu India beralih ke arah ekonomi yang lebih terbuka selepas beberapa dekad kawalan ketat negara yang dikenali sebagai "licence raj."

Di bawah kepimpinannya, Tata Group menceburi sektor baharu dan membuat pemerolehan berprofil tinggi termasuk jenama kereta mewah British, Jaguar dan Land Rover pada 2008, perjanjian Teh Tetley pada 2000, serta pembelian pengeluar keluli Anglo-Belanda, Corus pada 2007.

Beliau mengambil alih tampuk kepimpinan pada Mac 1991 daripada bapa saudaranya, Jehangir Ratanji Dadabhoy Tata, yang dikenali sebagai J.R.D. Tata, yang memimpin kumpulan itu selama 50 tahun selepas ia diasaskan oleh Jamsetji Nusserwanji Tata pada 1868.

Setelah berkhidmat sebagai pengerusi dari 1991 hingga 2012, Ratan Tata dianugerahkan gelaran kehormat Pengerusi Emeritus bagi Tata Sons, Tata Industries, Tata Motors, Tata Steel, dan Tata Chemicals.

“Bagi Tata Group, beliau lebih daripada sekadar seorang pengerusi. Bagi saya, beliau adalah mentor, pembimbing, dan sahabat. Beliau memberi inspirasi melalui teladan,” kata Natarajan Chandrasekaran, pengerusi kumpulan semasa.

Tata sangat dikagumi kerana gaya kepimpinannya yang tetap berpegang kepada nilai tradisional walaupun dunia perniagaan India semakin sesak dengan kemunculan hartawan baharu yang dikenali sebagai "Bollygarchs."

Golongan elit politik dan ahli perniagaan turut bersedih atas pemergiannya menerusi catatan di media sosial.

Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi menyifatkan Tata sebagai “pemimpin perniagaan yang berwawasan, jiwa yang penuh belas kasihan dan seorang insan luar biasa,” sambil memuji sumbangannya kepada masyarakat.

“Beliau disayangi kerana kebaikan dan kerendahan hati serta komitmennya yang teguh untuk menjadikan masyarakat kita lebih baik,” kata Modi.

Tata juga dikenang kerana inisiatif dermawannya, termasuk sumbangan besar dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

Antara projek Tata yang paling terkenal ialah pelancaran Tata Nano, sebuah kereta kecil mampu milik. Walaupun mendapat sambutan awal, pengeluarannya dihentikan pada 2019 akibat pelbagai cabaran, termasuk jualan yang rendah dan peraturan baharu.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM