fb fb fb fb fb

Pesawat dinaiki 19 orang terhempas di Kathmandu, Nepal

FOTO REUTERS

KATHMANDU, 24 Julai- Sebuah pesawat dinaiki 19 penumpang terhempas di sebuah lapangan terbang di sini, Nepal, pagi tadi, lapor akhbar Kathmandu Post, memetik seorang pegawai lapangan terbang.

Akhbar itu melaporkan pesawat Saurya Airlines terhempas semasa berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, kira-kira pukul 11.00 pagi waktu tempatan.

Setakat berita ini ditulis, seramai lima orang dilaporkan telah terkorban.

Pesawat jenis Bombardier CRJ 200 itu dalam perjalanan ke Pokhara, hab pelancongan popular di Himalaya.

"19 orang, termasuk anak kapal, berada dalam kapal," lapor akhbar berkenaan, memetik jurucakap lapangan terbang, Premnath Thakur.

Sementara itu, portal berita Khabarhub melaporkan bahawa kapal terbang tersebut telah terbakar dan mengeluarkan kepulan asap.

Video dari tempat kejadian menunjukkan kebakaran besar dengan asap menjulang naik. Anggota bomba berada di tempat kejadian dan cuba memadam kebakaran. -AFP/Reuters

2407 BD NEPAL KAPAL TERHEMPAS
FOTO REUTERS

SITI AISHAH MD ISA