fb fb fb fb fb

Perhimpunan tuntut tamatkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza

Foto WAFA

RAMALLAH, 23 Disember- Perhimpunan dan perarakan terus diadakan di bandar-bandar utama seluruh dunia bagi membantah serangan berterusan Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, ribuan orang menyertai demonstrasi yang dianjurkan di London, Paris, Berlin, Milan, Utrecht di Belanda, Manchester dan Luxembourg, menyatakan sokongan untuk rakyat Palestin.

Perhimpunan tersebut sebagai sebahagian daripada gerakan perpaduan global terhadap rakyat Palestin selepas kempen pembunuhan beramai-ramai oleh rejim zionis di Gaza.

Orang ramai berarak di sepanjang Oxford Street di London menyeru gencatan senjata segera di Gaza dan memboikot jenama berkaitan Israel, ketika lalu lintas di kawasan membeli belah yang sibuk menjelang Krismas.

“Tidak boleh ada Krismas seperti biasa semasa pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku,” kata penganjur dan kumpulan aktivis 'Sisters Uncut' menulis di media sosial pada hari Sabtu, menyeru boikot jenama termasuk Puma, HP dan Axa.

"Kami akan terus menutupnya sebagai solidariti kepada rakyat Palestin,” kata kumpulan itu, sambil berkongsi video penunjuk perasaan bersenjatakan bendera Palestin dan sepanduk  melaungkan “tutup ia” di luar Puma.

Sementara itu, di Melbourne pula, menyaksikan konvoi kereta dan basikal turut menyeru gencatan senjata.

Protes telah diadakan setiap minggu di semua bandar utama Australia sejak tiga bulan lalu, yang menuntut penamatan pencerobohan Israel di Palestin.

Laungan 'Palestin Bebas' kedengaran dengan bunyi hon dan muzik semasa perarakan berlangsung.

Lebih 20,000 rakyat Palestin  terkorban, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, manakala lebih 54,000 yang lain cedera akibat serangan Israel, selain hampir 7,000 orang tidak ditemui di bawah runtuhan bangunan.

ROSLINA BINTI DIN