fb fb fb fb fb

Pengasas kedai Daiso hembus nafas terakhir pada usia 80 tahun

Pengasas Daiso Hirotake Yano / AFP

TOKYO, 20 Februari- Hirotake Yano, perintis kedai 100 yen Jepun dan pengasas rangkaian Daiso, telah meninggal dunia, minggu lalu.

Menerusi satu kenyataan pada Isnin, Daiso memaklumkan jutawan berkenaan meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada usia 80 tahun di Hiroshima pada 12 Februari.

Ahli keluarga terdekat mengadakan upacara pengebumian tertutup, dan mendiang akan diperingati dalam perhimpunan khas dalam masa terdekat, kata kenyataan tersebut.

Dikenali sebagai perintis model perniagaan kedai dolar, Yano mempunyai nilai bersih kira-kira AS$1.9 bilion (kira-kira 9 bilion) pada masa kematiannya, menurut Indeks Billionair Bloomberg.

Selepas tidak berjaya menjalankan perniagaan ikan bapa mertuanya dan menjual ensiklopedia, Yano mula menjual barangan dari gerai jalanan pada tahun 1972.

Lima tahun kemudian, bosan kerana terpaksa meletakkan harga yang berbeza pada barangan yang berbeza, Yano melancarkan Daiso di mana semua barangan ditetapkan harga 100 yen bagi menjimatkan masa yang diambil untuk meletakkan tanda harga.

Firma itu mula berkembang di seluruh Asia dan luar negara, bermula di Taiwan pada 2001, dan 990 daripada 5,350 kedainya berada di luar Jepun, menurut laman webnya.

Setakat Disember lalu, Daiso mempunyai 4,360 kedai domestik dan 990 lokasi di luar negara.

"Saya telah gagal berkali-kali... Tetapi saya teruskan kerana saya fikir tiada apa lagi yang boleh saya lakukan," media tempatan memetik kata-kata Yano pada 2001.

"Ia adalah nilai dan keseronokan yang boleh didapati oleh pelanggan dalam 100 yen. Mereka mendapat kepuasan mental daripada pengalaman membeli-belah mereka," katanya.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE