fb fb fb fb fb

Peluru berpandu Rusia musnahkan infrastruktur tenaga di lima wilayah Ukraine

Pasukan penyelamat memadamkan kebakaran di sebuah bangunan pangsapuri yang musnah akibat serangan peluru berpandu Rusia di Kharkiv, 31 Mei 2024, di tengah-tengah pencerobohan Rusia di Ukraine./AFP

KIEV, 1 Jun- Rusia melancarkan serangan peluru berpandu dan dron hari ini mengakibatkan kerosakan kemudahan tenaga di lima wilayah diUkraine, kata pegawai.

Pengendali grid nasional Ukraine, Ukrenergo berkata, serangan itu merosakkan kemudahan tenaga di timur Donetsk, tenggara Zaporizhzhia, wilayah Dnipropetrovsk, wilayah Kyrovohrad tengah dan wilayah Ivano-Frankivsk di barat.

“Pagi ini Rusia melancarkan satu lagi serangan ke atas kemudahan tenaga Ukraine. Sejak Mac ia sudah terjadi enam serangan besar-besaran, kompleks, peluru berpandu dan dron terhadap infrastruktur tenaga awam,” kata Ukrenergo.

Pertahanan udara Ukraine menembak jatuh 35 daripada 53 peluru berpandu Rusia dan 46 daripada 47 dron Rusia, kata komander tentera udara itu.

Sejak Mac, Rusia telah meningkatkan pengeboman terhadap infrastruktur kuasa Ukraine, menyingkirkan sebahagian besar penjanaan tenaga haba dan hidro menyebabkan pemadaman, dan mendorong import elektrik ke paras tertinggi.

Syarikat penjana tenaga swasta terbesar di Ukraine, DTEK, berkata semasa serangan itu dua loji kuasa habanya telah terjejas dan peralatan "rosak teruk."

Pegawai wilayah melaporkan bahawa anggota bomba sedang memadamkan kebakaran di beberapa tapak berikutan serangan itu.

Tiada laporan mengenai kemalangan jiwa.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI