WASHINGTON, 5 Disember- Seorang pelancong AS yang melawat Bahamas maut akibat diserang jerung pada Isnin.
Wanita berusia 44 tahun yang tidak didedahkan identitinya itu, sedang mendayung dari sebuah resort di pulau New Providence.
Seorang penyelamat kemudiannya membawa wanita dan saudara lelaki yang bersamanya ke pantai untuk melakukan CPR, menurut siaran berita dari Pasukan Polis Diraja Bahamas.
"Mangsa mengalami trauma yang ketara di bahagian kanan badannya," kata kenyataan itu, dan dia telah diisytiharkan meninggal dunia oleh pihak kecemasan.
Polis turut mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka.
Bahamas, sebuah kepulauan dengan lebih daripada 3,000 pulau kecil, mempunyai beberapa pusat peranginan pantai, dan menganggap pelancongan sebagai sebahagian besar hasil ekonominya.
Serangan jerung jarang berlaku, dengan 89 serangan direkodkan di seluruh dunia tahun lepas oleh Fail Serangan Jerung Antarabangsa, pangkalan data yang diselenggara oleh Muzium Sejarah Alam Florida, di Amerika Syarikat.
Bahamas telah merekodkan 33 serangan sejak 1580, menurut pangkalan data.
Pada 2019, seorang wanita yang melawat negara itu turut maut akibat seranganjerung ketika sedang melakukan aktiviti snorkeling bersama keluarganya semasa pelayaran.-AFP