ANKARA, 25 Jun - Kerajaan Norway pada Selasa menandatangani kontrak dengan syarikat swasta untuk memulakan penyimpanan produk bijirin.
Kontrak awal akan merangkumi penyimpanan sebanyak 30,000 tan bijirin, lapor Agensi Anadolu yang memetik Menteri Pertanian dan Makanan Geir Pollestad kepada penyiar Norway, NRK.
Matlamatnya adalah untuk menyimpan sekitar 82,500 tan bijirin menjelang akhir dekad ini, memastikan bekalan mencukupi untuk tiga bulan penggunaan bagi populasi Norway dalam sebarang krisis yang berpotensi, kata Pollestad seperti yang dipetik oleh NRK.
Pollestad menegaskan bahawa keadaan keselamatan telah merosot dengan ketara di rantau ini, mendorong kerajaan untuk memberi tumpuan kepada meningkatkan kesiapsiagaan.
"Keterjaminan makanan adalah sangat penting. Kita mesti bersiap sedia untuk menghadapi perkara yang tidak diduga dan memastikan akses kepada makanan dalam situasi sebegini," katanya.
Pollestad menjelaskan lagi bahawa kontrak-kontrak ini dijadualkan untuk pelaksanaan antara 2024 dan 2025, dengan tempoh penyimpanan selama 25 tahun, kata NRK.
Norway kini mengekalkan kadar mampu diri sebanyak 40 peratus dalam makanan.- BERNAMA-ANADOLU