(FOTO gambar fail AFP)
KAHERAH, 25 Februari - Mesir akan memberi bantuan kepada pelancong warga Rusia dan Ukraine yang terkandas di negara itu disebabkan pembatalan penerbangan akibat serangan berskala besar tentera Rusia terhadap Ukraine.
"Pelancong dari negara yang berhadapan gangguan perkhidmatan penerbangan dibenarkan tinggal di hotel sehingga mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat," menurut kenyataan Kementerian Pelancongan Mesir.
Keputusan itu dibuat susulan pembatalan tergesa-gesa beberapa penerbangan selepas Rusia mengerahkan tenteranya melepasi sempadan dan memasuki Ukraine.
Penerbangan dari sebelas lapangan terbang di selatan Rusia dan sebuah lapangan terbang di Crimea telah dibatalkan.
Syarikat penerbangan Perancis, Air France dan Lufthansa dari Jerman pula dilapor menggantung semua penerbangan ke Ukraine.
Sementara negara-negara Barat mengumumkan sekatan baharu terhadap Rusia, Kementerian Luar Mesir menggesa semua pihak mencari penyelesaian menerusi dialog dan pendekatan diplomatik bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk.
Hotel-hotel mewah di sepanjang kawasan pantai Laut Merah di Mesir merupakan destinasi popular dalam kalangan pelancong dari Ukraine dan Rusia.
Penerbangan terus dari Rusia ke bandar peranginan, Sharm el-Sheikh baru disambung semula tahun lepas setelah digantung pihak berkuasa Rusian susulan serangan terhadap sebuah pesawat pada 2015 yang meragut 224 nyawa.
Sejumlah besar penumpang yang maut adalah warga Rusia. -AFP