fb fb fb fb fb

Menteri Kewangan UK hadiri mesyuarat EU dalam Usaha ‘reset’ pasca-Brexit

Rachel Reeves / Foto Reuters

LONDON, 9 Disember – Canselor Britain, Rachel Reeves, akan menghadiri mesyuarat menteri kewangan zon Euro (Eurogroup) di Brussels hari ini bagi menggesa hubungan “berorientasikan perniagaan” antara Kesatuan Eropah (EU) dan UK pasca-Brexit.

Menurut kenyataan Perbendaharaan, Reeves akan menjadi canselor Britain pertama yang menghadiri mesyuarat tersebut sejak UK keluar daripada EU.

Beliau dijangka menyeru kepada hubungan yang dibina atas kepercayaan, saling hormat-menghormati, dan pragmatisme.

Di Brussels, Reeves juga dijadualkan membincangkan pelonggaran halangan perdagangan, peningkatan pelaburan, serta usaha mempermudah perniagaan UK dan EU untuk beroperasi dalam pasaran masing-masing.

Sokongan bersama untuk Ukraine turut menjadi agenda utama.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Parti Buruh untuk memperbaiki hubungan dengan EU, selepas bertahun-tahun perselisihan di bawah pentadbiran kerajaan Konservatif sebelum ini.

Oktober lalu, Perdana Menteri UK, Keir Starmer, telah bertemu Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, bagi memperkukuh kerjasama dua hala.

Bagaimanapun, Starmer menegaskan bahawa usaha tersebut tidak akan membawa UK kembali ke pasaran tunggal atau kesatuan kastam Eropah.

Sementara itu, Starmer kini berada di UAE dan Arab Saudi untuk menarik pelaburan dari negara kaya minyak dan mempromosikan perjanjian perdagangan bebas dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Reeves, dalam pada itu, dijangka melawat Beijing pada tahun 2025, menurut kenyataan Perbendaharaan.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN