fb fb fb fb fb

Lebih 60,000 berhimpun di Perancis, Britain gesa gencatan senjata di Gaza

Penunjuk perasaan memegang sepanduk dari Chalk Farm ke Camden Town, di London, semalam yang menggesa gencatan senjata rejim Zionis Israel/FOTO AFP

PARIS, 19 November - Lebih 60,000 penunjuk perasaan berhimpun di seluruh Perancis dan Britain semalam menggesa gencatan senjata di Gaza.

Manakala ratusan yang lain keluar berhimpun kali kedua ke bandar-bandar di seluruh Eropah bagi menyatakan sokongan solidariti buat rakyat Palestin sejak jenayah perang yang dilakukan rejim Zionis Israel tanpa henti pada 7 Oktober lalu.

Meskipun dalam keadaan hujan lebat, beribu-ribu orang berarak melalui ibu kota Paris dengan membawa sepanduk dan melaungkan untuk Israel menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan Tebing Barat selain mendesak gencatan senjata segera.

Setiausaha Agung kesatuan CGT Sophie Binet menganggarkan 60,000 orang berkumpul di ibu negara itu dan 40,000 lagi berkumpul di puluhan bandar lain di seluruh negara.

Kementerian Dalam Negeri berkata, selama tiga hari berturut-turut 7,000 orang berarak di Paris dan 45,000 lagi berarak di luar kawasan Paris.

'Bebaskan Palestin'

Di Eropah, penganjur berkata kira-kira 4,000 orang berarak di Geneva, menyalakan lilin yang mempaparkan peta Gaza di hadapan ibu pejabat PBB Eropah.

Mereka membawa sepanduk besar dengan melaungkan: "Hentikan Pembunuhan beramai-ramai di Gaza" dan ramai yang menjerit "Bebas, bebaskan Palestin!".

Di Amsterdam, dua perhimpunan turut diadakan untuk menggesa gencatan senjata di Gaza selain menuntut pembebasan tebusan yang menjadi tahanan Hamas.

Dalam perhimpunan itu tiada tangkapan dibuat dan perhimpunan berjalan dengan tenang.

Sementara itu di Lisbon, ribuan yang menyertai perhimpunan melaungkan "Palestin akan bebas".

"Saya rasa ketidakadilan terhadap Palestin, sejak 75 tahun lalu, sangat teruk," kata Maria Joao Ralha, 64.

Beberapa ratus orang berarak di Warsaw, melakukan protes di hadapan kedutaan Israel di Poland.

Di Istanbul, menyaksikan perhimpunan besar-besaran yang dihadiri Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menggesa Israel untuk menghentikan serangan berterusan ke atas Gaza.

Kira-kira 100 orang menyalakan suar dan memegang sepanduk anti-perang meskipun dalam keadaan hujan lebat di luar konsulat Israel.

Semua kakitangan diplomatik Israel meninggalkan Turkiye pada bulan lalu sebagai langkah berjaga-jaga keselamatan. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN