fb fb fb fb fb

Lebih 338,000 penduduk hilang tempat tinggal di Gaza

(Antara penduduk Gaza yang kehilangan tempat tinggal selepas diserang oleh Israel/FOTO REUTERS)

GENEVA, 12 Oktober - Lebih daripada 338,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka di Semenanjung Gaza selepas rejim Israel berterusan membedil Wilayah Palestin, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Semalam, jumlah pelarian di Gaza telah meningkat sebanyak 75,000 orang.

Dalam tempoh 24 jam, angka itu mencecah 338, 934 orang menurut PBB.

Kenyataan dikeluarkan selepas Israel membedil kedudukan Hamas di Semenanjung Gaza iaitu kawasan yang mempunyai jumlah penduduk paling padat 2.3 juta orang, sejak pejuang Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel, pada Sabtu.

Tentera Israel mendakwa 1,200 orang penduduknya terbunuh dalam serangan itu.

Sementara itu di Gaza, pegawai melaporkan lebih daripada 1,000 penduduk terbunuh dalam siri serangan balas udara dan operasi ketenteraan Israel.


(Israel berterusan menyerang Semenanjung Gaza/FOTO REUTERS)

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata hampir 220,000 penduduk, atau dua pertiga daripada pelarian, telah mendapatkan perlindungan di sekolah-sekolah yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) .

OCHA berkata kira-kira 3,000 penduduk telah dipindahkan di kawasan itu sebelum serangan Sabtu lalu.

Siri serangan balas pengeboman telah memusnahkan sekurang-kurangnya 2,540 unit rumah tidak dapat didiami di Gaza, kata OCHA.

Manakala sebanyak 22,850 unit rumah lagi mengalami kerosakan sederhana hingga kecil, katanya.

Agensi PBB itu juga menyuarakan kebimbangan mengenai kemusnahan dan kerosakan besar melibatkan infrastruktur awam dalam serangan itu. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN:
Konflik Palestin-Israel: Angka korban cecah 1,200 di Semenanjung Gaza
Konflik Palestin-Israel: 11 pekerja, sukarelawan bantuan PBB terbunuh
Konflik Palestin-Israel, rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan
Denmark, Sweden gantung bantuan pembangunan ke Palestin
Pemimpin Arab Saudi – Iran bincang tamatkan konflik terbaharu Israel-Palestin

Media Baharu