fb fb fb fb fb

Kartel dadah, rakyat Mexico tuntut keadilan individu hilang dan bunuh

Anggota Guerreros Buscadores di krematorium yang ditemukan di Teuchitlan, negeri Jalisco/ AFP

MEXICO, 16 Mac- Penunjuk perasaan berkumpul di seluruh Mexico pada Sabtu untuk menuntut keadilan berikutan penemuan mengerikan tulang, kasut dan pakaian yang hangus di tempat kartel dadah.

Menurut wartawan AFP dan laporan akhbar tempatan demonstrasi berlaku di negeri barat Jalisco, lokasi mayat ditemukan dan di bandar-bandar di seluruh negara itu termasuk ibu kota Mexico City, Tijuana, Veracruz dan San Luis Potosi.

Banyak keluarga mencari beberapa ahli keluarga lain daripada lebih 100,000 orang yang dilaporkan hilang di Mexico, namun menemukan mayat pada 5 Mac di sebuah ladang lokasi yang dijadikan tempat rekrut paksa bagi individu yang ditahan.

Anggota Guerreros Buscadores -- kumpulan yang mencari individu hilang -- menyifatkan tapak itu sebagai "pusat pemusnahan" dengan "krematorium rahsia" sekali gus mencetuskan kejutan di negara yang sinonim dengan keganasan berkaitan kartel dadah yang semakin meningkat.

Di ibu negara Mexico, penunjuk perasaan meletakkan lilin dan barisan kasut sebagai penghormatan kepada mereka yang dibunuh dan hilang.

"Saya datang untuk bersuara untuk anak saya dan untuk semua yang hilang," kata Aurora Corona, 58. Anaknya hilang pada Mac tahun lalu di timur laut negeri Nuevo Leon Mexico.

Dia berharap penemuan itu akan terus menekan pihak berkuasa untuk melakukan lebih banyak pencarian kira-kira 124,059 individu yang didaftarkan secara rasmi sebagai hilang di Mexico. Kebanyakannya didaftarakan sejak 2006 apabila kerajaan mengisytiharkan perang terhadap kartel dadah.

"Semoga mereka akan memberi fokus kepada kegiatan jahat itu dan mereka sendiri melihat betapa ngerinya negara yang kita diami," katanya sambil menangis.

Sejak Oktober 2023, kumpulan mencari warga Mexico yang hilang telah melaporkan penemuan enam lagi krematorium rahsia yang didakwa di Jalisco.

Sementara itu beratus-ratus kubur lain ditemukan di tempat lain di negara itu.

Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menyifatkan penemuan di Jalisco sebagai "trauma dan peristiwa hitam yang dikaitkan dengan kehilangan individu serta jenayah terancang di seluruh negara."

"Penemuan itu lebih membimbangkan memandangkan tapak berkenaan pernah diserbu pada September 2024 oleh Pengawal Kebangsaan dan Pejabat Pendakwa Negeri Jalisco. Namun tiada bukti penting dikesan ketika operasi berkenaan," tambahnya.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI