SYDNEY, 19 November - Gergasi permainan dalam talian, Roblox Corp, mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan keperluan pengecaman wajah atau semakan ID secara mandatori bermula Disember bagi pemain yang mahu menggunakan ciri sembang platform berkenaan.
Langkah itu bertujuan menghalang kanak-kanak bawah sembilan tahun daripada berkomunikasi tanpa persetujuan ibu bapa serta mengurangkan interaksi antara orang dewasa dan kanak-kanak secara dalam talian melalui sistem pengelasan pengguna kepada enam peringkat umur, bermula daripada bawah sembilan tahun hingga lebih 21 tahun.
Keperluan baharu itu akan dilaksanakan pada minggu pertama Disember di Australia, New Zealand dan Belanda, sebelum diperluas ke seluruh dunia pada awal Januari, menurut kenyataan syarikat itu.
"Roblox merupakan platform permainan atau komunikasi dalam talian pertama yang mewajibkan semakan umur berasaskan pengecaman wajah untuk mengakses ciri sembang, sekali gus mewujudkan satu standard baharu dalam industri," menurut syarikat berpusat di California itu dalam kenyataan yang dikeluarkan Selasa.
Sistem tersebut meletakkan syarat pengguna mengambil gambar wajah atau menggunakan dokumen pengenalan untuk mengesahkan umur masing-masing.
Roblox turut memaklumkan bahawa pemain boleh menjalani semakan umur secara sukarela mulai sekarang sebelum ia diwajibkan, memandangkan platform tersebut amat popular dalam kalangan pemain muda.
Penentuan umur melalui pengecaman wajah akan dijalankan syarikat pengesahan ID, Persona, melalui aplikasi Roblox, dengan imej dan video akan dipadamkan "serta-merta" selepas proses selesai.
"Semakan umur adalah sepenuhnya pilihan; namun ciri seperti sembang tidak akan dapat diakses melainkan semakan tersebut diselesaikan," tambah kenyataan itu.
Larangan Media Sosial
Pengumuman Roblox itu dibuat beberapa minggu sebelum larangan Australia terhadap pengguna bawah 16 tahun menyertai media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok berkuat kuasa pada 10 Disember.
Platform media sosial yang gagal mengambil langkah munasabah untuk mengesan dan menyahaktif akaun pengguna bawah 16 tahun boleh dikenakan denda sehingga Aus$49.5 juta (AS$32 juta).
Roblox termasuk antara beberapa platform seperti Discord, WhatsApp dan Lego Play dikecualikan daripada undang-undang media sosial Australia.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Australia menegaskan mereka berhak mewajibkan platform yang dikecualikan untuk mematuhi undang-undang berkenaan jika perlu. Secara dasarnya, larangan itu antara yang paling ketat di dunia.
Namun beberapa pakar bimbang undang-undang tersebut hanya bersifat simbolik memandangkan kesukaran melaksanakan dan menguatkuasakan semakan umur dalam talian.
Syarikat teknologi juga mengkritik larangan Australia itu, menyifatkannya sebagai 'tidak jelas', 'merumitkan' dan 'tergesa-gesa'.
Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, dijangka membentangkan rang undang-undang bagi mengehadkan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak.
Sementara itu, kerajaan Belanda tahun ini menasihatkan ibu bapa supaya melarang kanak-kanak bawah 15 tahun menggunakan aplikasi media sosial seperti TikTok dan Snapchat.- AFP