fb fb fb fb fb

Serangan AS ragut sembilan nyawa di Yaman

Pasukan CENTCOM melancarkan operasi terhadap sasaran Huthi di seluruh Yaman/ AFP

SANAA, 16 Mac- Kempen serangan ke atas Huthi Yaman yang diarahkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyebabkan sembilan individu maut di Sanaa pada Sabtu.

Pada masa sama Washington memberi amaran kepada Iran supaya berhenti menyokong kumpulan itu.

Sementara itu sembilan individu lagi cedera dalam serangan pertama AS ke atas Huthi, yang telah menyerang Israel dan Laut Merah sepanjang perang ke atas Gaza, sejak Trump memegang jawatan pada Januari.

Di Sanaa kedengaran tiga letupan dan kepulan asap datang dari daerah perumahan di utara ibu kota, pasukan keselamatan segera mengepung kawasan itu serta-merta.

"Sembilan orang awam terbunuh dan sembilan lagi cedera, kebanyakannya berada dalam keadaan serius," kata kementerian kesihatan dan alam sekitar Huthi dalam satu kenyataan.

Stesen TV Al-Masirah melaporkan "pencerobohan Amerika-British menyerbu kawasan perumahan di daerah Shuub" di Sanaa. Ia kemudian melaporkan serangan sedemikian ke atas kubu kuat Huthi di Saada.

Bagaimanapun tiada komen segera diperolehi daripada pihak berkuasa British.

Menerusi catatan media sosial, Trump berjanji untuk "menggunakan kuasa maut yang luar biasa sehingga mencapai matlamat kami," catatan itu memetik ancaman Huthi terhadap laluan kapal di Laut Merah.

Namun Huthi membalas dalam satu kenyataan menerusi Al-Masirah dan berjanji serangan akan terus dilakukan sekiranya "tanpa jawapan".

"Angkatan bersenjata Yaman bersedia sepenuhnya untuk menghadapi peningkatan serangan," kata biro politik kumpulan itu.

Dalam pada itu Trump turut memberi amaran kepada Iran supaya berhenti memberi sokongan kepada puak Huthi.

Kumpulan berkenaan telah menguasai sebahagian besar Yaman selama lebih sedekad merupakan sebahagian daripada "paksi penentangan" kumpulan pro-Iran yang menentang keras Israel dan Amerika Syarikat.

Kumpulan tersebut juga telah melancarkan beberapa serangan dron dan peluru berpandu ke atas kapal-kapal yang melalui Yaman di Laut Merah dan Teluk Aden berikutan perang dilakukan ke atas Gaza. Tindakan tersebut disifatkan sebagai solidariti ke atas Palestin.

Serangan berkenaan melumpuhkan laluan penting, yang biasanya membawa kira-kira 12 peratus trafik perkapalan dunia sekali gus memaksa banyak syarikat melakukan lencongan hingga ke hujung selatan Afrika.

Pejuang Hamas berterima kasih atas sokongan daripada puak Huthi yang mengecam serangan AS dan melabelkan mereka sebagai "satu pencabulan undang-undang antarabangsa dan serangan terhadap kedaulatan dan kestabilan negara".- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI