ALABAMA, 17 Mac- Sekurang-kurangnya dua individu maut di sini akibat cuaca buruk dan sebahagian besar negeri itu melaporkan kerosakan akibat ribut pada Ahad.
Gabenor Alabama Kay Ivey menerusi hanaran X memaklumkan terdapat kerosakan "di 52 daripada 67 daerah kami."
Ketika kejadian berkenaan turut kelihatan pokok tumbang dan bumbung berterbangan berikutan kejadian itu dan ia merupakan pemandangan biasa di Calera, Alabama.
Menurut penduduk tempatan Shondu Green, dia turut membantu penduduk di kawasan terjejas.
"Kami pada asasnya membantu penduduk dengan menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan. Hanya perkara seperti itu. Kami mendapat peralatan untuk melakukannya.
"Kami bermula awal pagi ini untuk membersihkan kesan cuaca buruk. Bantuan kecil ini semestinya membantu penduduk terjejas dan terkesan," katanya.
Sementara itu Kyle Tucci memaklumkan, cuaca buruk berkenaan turut menumbangkan pokok dan menjejaskan ternakan.
"Banyak kerosakan yang dialami termasuk kandang haiwan ternakan. Reban ayam dan beberapa barangan turut terkesan.
"Tidak pasti. Mungkin sekurang-kurangnya 20 atau 30 pokok tumbang," katanya.
Ribut yang melanda Selatan dan Barat Tengah Alabama itu kini bergerak ke kawasan timur.
Menurut laman web PowerOutage hampir 300,000 pengguna terputus bekalan elektrik berikutan kawasan terjejas.
Missouri menerusi rondaan lebuh raya negeri yang disiarkan di X melaporkan kejadian berkenaan meragut 12 nyawa, menjadikan ia rekod kematian terbesar merangkumi lima daerah.
Menurut Pusat Ramalan Cuaca Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan sebanyak 39 puting beliung dilaporkan dari Jumaat hingga Ahad namun jumlah itu belum disahkan.- Reuters