YANGON, 19 November – Tentera Myanmar mengumumkan telah menyerbu sebuah pusat penipuan dalam talian di sempadan Thailand serta menahan hampir 350 individu, pada Rabu.
Ia sebahagian daripada tindakan tegas terhadap kawasan pasaran gelap yang semakin berkembang.
Kawasan sempadan Myanmar yang dilanda perang telah menjadi lokasi utama 'kilang penipuan' di mana 'scammer' menyasarkan pengguna internet dengan penipuan cinta dan perniagaan bernilai berbilion dolar setiap tahun.
Menurut media kerajaan, operasi di pusat perjudian dan penipuan Shwe Kokko menahan 346 warga asing yang sedang disiasat, selain merampas hampir 10,000 telefon bimbit yang digunakan dalam operasi perjudian dalam talian.
Sejak rampasan kuasa pada 2021 yang mencetuskan perang saudara, kawasan sempadan yang kurang dikawal itu menjadi lokasi bagi penipuan, dengan ribuan pekerja dan mangsa perdagangan manusia terlibat.
Menurut The Global New Light of Myanmar, firma Yatai milik suspek She Zhijiang, seorang ahli sindiket Cina-Kemboja, dipercayai mengendalikan kawasan Shwe Kokko.
She ditahan di Thailand pada 2022 dan diekstradisi ke China minggu lalu untuk menghadapi tuduhan berkaitan perjudian dan penipuan dalam talian.
Pada Februari, operasi berskala besar terdahulu menyaksikan kira-kira 7,000 'scammer' dihantar pulang, manakala Thailand melaksanakan sekatan internet merentas sempadan.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), mangsa penipuan di Asia Tenggara dan Asia Timur sahaja kerugian sehingga $37 bilion pada 2023, dengan kerugian global dijangka lebih besar. -AFP