PATAGONIA, 19 November – Lima pelancong dilaporkan maut akibat ribut salji yang kuat di Taman Negara Torres del Paine di Patagonia, selatan Chile.
Manakala empat lagi yang sebelum ini dilaporkan hilang telah dijumpai selamat, menurut pihak berkuasa pada Selasa.
Pengarah serantau Senapred (Perkhidmatan Pencegahan dan Tindak Balas Bencana Kebangsaan), Juan Carlos Andrades berkata pihak berkuasa kini menumpukan usaha mengeluarkan mayat lima mangsa yang terkorban.
Jika keadaan cuaca mengizinkan, operasi itu dijangka tamat esok.
Menurut pihak berkuasa, mangsa terdiri daripada dua warga Jerman, dua warga Mexico dan seorang warganegara Britain.
Mereka dilaporkan hilang berhampiran Kem Los Perros di taman negara itu, yang hanya boleh dicapai melalui perjalanan kaki selama empat hingga lima jam dari lokasi paling hampir yang boleh diakses dengan kenderaan.
Ribut salji itu berlaku dengan kelajuan angin melebihi 193 km/j (120 mph), bersamaan dengan kategori tiga taufan.
Taman Negara Torres del Paine, yang terkenal dengan landskap semula jadinya yang menakjubkan, meliputi kawasan seluas kira-kira 1,810 kilometer persegi dan menerima ratusan ribu pengunjung setiap tahun. -REUTERS