fb fb fb fb fb

UK rancang sekatan baharu berhubung pelanggaran hak asasi di Sudan

Menteri Luar Britain, Yvette Cooper dalam persidangan di Parlimen/REUTERS

LONDON, 19 November – Britain merancang memperkenalkan sekatan baharu terhadap individu atau entiti yang terbabit dalam pelanggaran hak asasi manusia di Sudan.

Menteri Luar Britain, Yvette Cooper turut menegaskan keperluan usaha berterusan untuk mencapai gencatan senjata di negara yang bergolak itu.

“Saya telah mengarahkan pegawai untuk mengemukakan cadangan sekatan berkaitan pelanggaran hak asasi manusia dan penyalahgunaan kuasa di Sudan,” katanya kepada Parlimen, ketika usaha antarabangsa untuk menamatkan perang di negara itu masih buntu.

Konflik Sudan tercetus pada tahun 2023 selepas perebutan kuasa antara Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Penguasaan terbaharu RSF ke atas bandar al-Fashir yang merupakan antara bandar terbesar di Sudan, mencetuskan kebimbangan serius mengenai potensi pembunuhan besar-besaran.

Kedua-dua pihak semakin bergantung kepada serangan dron sejak beberapa bulan lalu.

Cooper berkata komuniti antarabangsa terlalu lama memalingkan muka daripada krisis Sudan.

“Kita perlu memastikan pasukan siasatan dapat masuk untuk menyiasat kekejaman ini dan membawa pelaku ke muka pengadilan,” tegasnya.

Tahun lalu, Britain mengenakan sekatan terhadap tiga syarikat, iaitu Bank Alkhaleej, Al-Fakher Advanced Works dan Red Rock Mining, yang didakwa menyalurkan dana kepada kumpulan bersenjata dalam konflik tersebut. -REUTERS

SITI AISHA MELISA YUHANIZ