WASHINGTON, 19 November – Arab Saudi bersedia menyertai Perjanjian Abraham yang diusahakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, namun menegaskan syarat utama memastikan kewujudan yang jelas hala tuju penyelesaian dua negara untuk Palestin.
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman berkata Riyadh akan terus berusaha mewujudkan situasi yang bersesuaian secepat mungkin.
“Kami mahu menjadi sebahagian daripada perjanjian tersebut. Tetapi kami juga mahu memastikan wujudnya laluan yang jelas ke arah penyelesaian dua negara,” kata baginda ketika sidang media bersama Trump di Oval Office.
Putera Mohammed menegaskan mahukan keamanan untuk kedua-dua pihak.
“Kami mahukan keamanan untuk rakyat Israel. Kami mahukan keamanan untuk rakyat Palestin. Kami mahu mereka hidup bersama secara aman di rantau ini.” kata baginda.
Pada tahun 2020, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi menjadi negara Arab pertama dalam beberapa dekad menormalkan hubungan dengan Israel melalui Perjanjian Abraham.
Namun penyertaan Arab Saudi dilihat sebagai hadiah terbesar, memandangkan statusnya sebagai penjaga dua kota suci Islam dan pengaruhnya dalam dunia Arab serta Islam.
Berbeza dengan UAE, Arab Saudi berkali-kali menegaskan bahawa penubuhan negara Palestin adalah tuntutan utama sebelum sebarang normalisasi. -AFP