MADRID, 19 November – Sepanyol mengumumkan pakej bantuan ketenteraan baharu bernilai €615 juta (RM3.1 bilion) bagi menyokong usaha Ukraine mempertahankan diri daripada pencerobohan Rusia.
Perdana Menteri Pedro Sanchez dalam sidang media bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata sekitar €300 juta daripada jumlah tersebut akan diperuntukkan bagi pembelian peralatan pertahanan baharu.
“Perjuangan anda adalah perjuangan kami,” katanya sambil menegaskan tindakan Presiden Rusia, Vladimir Putin, bersifat neoimperialisme dan bertujuan melemahkan projek Eropah serta nilai-nilai yang dibawanya.
Pengumuman itu dibuat selepas kedua-dua pemimpin menandatangani beberapa perjanjian dua hala.
Sejak Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran pada Februari 2022, jutaan rakyat Ukraine terpaksa meninggalkan negara mereka, menyebabkan kerosakan besar di seluruh wilayah.
Zelensky, yang sebelum ini berada di Paris pada Isnin, dijadualkan meneruskan perjalanan ke Turki pada Rabu bagi menghadiri rundingan damai bersama Presiden Recep Tayyip Erdogan dan utusan Amerika Syarikat, Steve Witkoff. -AFP