fb fb fb fb fb

Jerman sambut baik resolusi UNSC mengenai Gaza, sifatkan sebagai berita baik

Foto AFP

SARAJEVO, 18 November- Jerman menyambut baik resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai Gaza dengan menyifatkannya sebagai “berita baik”, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Resolusi ini akan membolehkan pelaksanaan pelan 20 perkara yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan memberikan legitimasi kepada pasukan pengaman di Gaza untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan serta membantu mencari penyelesaian pentadbiran bagi wilayah berkenaan,” kata Menteri Luar Jerman Johann Wadephul pada Selasa pada sidang media bersama Menteri Luar Serbia Marko Djuric di Belgrade.

Beliau berkata undian Majlis Keselamatan itu menunjukkan bahawa “sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berfungsi”, dan mengulangi kesediaan Jerman untuk menyokong pembinaan semula Gaza.

Wadephul menekankan bahawa resolusi itu penting untuk masa depan dan keamanan di Timur Tengah.

UNSC pada Isnin meluluskan resolusi yang digubal Amerika Syarikat bagi menubuhkan Lembaga Peralihan Keamanan (BoP) dan memberi kuasa kepada Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) untuk menyelia tadbir urus, pembinaan semula dan usaha keselamatan di Semenanjung Gaza.

Resolusi itu diluluskan dengan 13 undi menyokong, manakala Rusia dan China berkecuali. Ia memberi kuasa kepada ISF dan BoP sehingga 31 Dis 2027.

Sejak Oktober 2023, hampir 69,500 rakyat Palestin terbunuh - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - dan lebih 170,700 lagi cedera dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza yang telah memusnahkan sebahagian besar wilayah itu. -BERNAMA-Anadolu

SITI NOORAIN ABDULLAH