fb fb fb fb fb

Singapura rampas tanduk badak sumbu bernilai lebih AS$800,000

Foto AFP

SINGAPURA, 18 November – Pihak berkuasa Singapura merampas 20 batang tanduk badak sumbu dan pelbagai bahagian haiwan lain yang dianggarkan bernilai AS$870,000 (kira-kira RM4.1 juta) dalam satu operasi di sebuah fasiliti kargo udara baru-baru ini.

Dalam kenyataan bersama, Lembaga Taman Negara Singapura (NParks) dan pengendali kargo SATS memaklumkan rampasan itu dilakukan selepas seorang pekerja kargo mengesan bau mencurigakan daripada satu pakej yang diisytiharkan sebagai “kelengkapan perabot”.

Pemeriksaan lanjut menemukan 35.7 kilogram tanduk badak sumbu serta 150 kilogram bahagian haiwan lain yang dipercayai untuk tujuan penyeludupan ke Laos.

Pihak berkuasa mengesahkan kesemua tanduk berkenaan berasal daripada spesies badak sumbu putih Afrika Selatan.

Semua barangan sitaan akan dilupuskan mengikut garis panduan Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar (CITES).

"Rekod rampasan sebelum ini di Singapura berlaku pada Oktober 2022 apabila 34.7 kilogram tanduk badak sumbu ditemui dalam bagasi seorang lelaki warga Afrika Selatan di Lapangan Terbang Changi. Suspek kemudiannya dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

"Rampasan berkenaan merupakan yang terbesar pernah direkodkan di Singapura." Menurut NParks

Badak sumbu ialah spesies dilindungi, dan perdagangan antarabangsa tanduknya adalah dilarang.

Tanduk badak sumbu sering diseludup berikutan permintaan tinggi di beberapa negara Asia yang menganggapnya sebagai simbol status atau bahan perubatan tradisional.

Menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), meskipun aktiviti pemburuan haram menunjukkan penurunan sejak beberapa tahun lalu, ancaman terhadap populasi badak sumbu masih serius.

Lebih 2,700 ekor diburu secara haram di Afrika antara 2018 hingga 2021, dengan Afrika Selatan menjadi lokasi utama pemburuan.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH