KIGALI (Rwanda), 18 November- Sekurang-kurangnya 29 orang termasuk pesakit terbunuh dalam serangan terbaharu yang didakwa dilakukan pemberontak Allied Democratic Forces (ADF) dengan menyasarkan sebuah pusat kesihatan dan beberapa kampung di timur Republik Demokratik Congo (DR Congo), menurut pihak berkuasa tempatan pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Penduduk dan pegawai tempatan menemukan 23 mayat di pusat kesihatan Byambwe di wilayah Lubero, susulan serangan yang berlaku pada awal pagi Jumaat, kata pentadbir wilayah, Kolonel Alain Kiwewa kepada pemberita.
Beliau berkata mangsa di pusat kesihatan itu termasuk 11 wanita, manakala beberapa orang awam lain turut dibunuh di tiga kampung berhampiran.
Byambwe berfungsi sebagai pusat rujukan kesihatan untuk penduduk setempat, termasuk mereka yang dipindahkan akibat konflik berterusan.
Media tempatan melaporkan pemberontak turut membakar sebahagian bangunan kemudahan itu bersama beberapa rumah penduduk.
“Serangan ke atas kemudahan kesihatan adalah jenayah terhadap kemanusiaan. Perbuatan keji ini tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman,” kata Kiwewa sambil menggesa penduduk menyokong operasi ketenteraan bersama antara tentera Congo dan Uganda bagi menumpaskan kumpulan itu.
Serangan berlaku beberapa minggu selepas 20 orang awam terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam serangan lain yang turut dikaitkan dengan ADF di wilayah sama pada Oktober.
Tentera Uganda dan Congo menjalankan operasi bersama terhadap ADF sejak 2021.
Kumpulan itu, yang aktif di timur Congo sejak sekian lama mempunyai kaitan dengan organisasi pengganas Daesh. -BERNAMA-ANADOLU