fb fb fb fb fb

Pegawai hartanah warga China ditahan, gagal bayar pinjaman korporat AS$138 juta

Bekas presiden dan pengarah sebuah syarikat hartanah di China ditahan kerana gagal membayar pinjaman berjumlah 980 juta yuan (AS$137.8 juta) /AFP

JAKARTA, 18 November- Seorang pegawai hartanah warga China ditahan berhubung kegagalan membayar pinjaman korporat berjumlah AS$138 juta.

Lelaki berusia 58 tahun itu dikenal pasti sebagai WZ ditahan di Batam pada Khamis selepas pihak Kedutaan China di Jakarta meminta bantuan polis Indonesia untuk mengesan individu kerana dipercayai melarikan diri dari negara tersebut.

Menurut Pengarah Perisikan Imigresen Indonesia, Agus Waluyo, WZ dipercayai telah merentasi beberapa negara di Asia sejak Ogos lalu sebelum memasuki Indonesia pada 7 Oktober.

“WZ telah ditahan untuk siasatan lanjut oleh Direktorat Jeneral Imigresen,” kata Agus dalam satu sidang media, sambil menambah bahawa pihak berkuasa Indonesia telah berhubung dengan pegawai kerajaan China.

Lelaki tersebut merupakan bekas presiden dan pengarah sebuah syarikat hartanah di China, gagal membayar balik pinjaman berjumlah 980 juta yuan (AS$137.8 juta).

Sektor hartanah China pernah berkembang pesat beberapa dekad lalu, namun momentum itu berubah pada 2020 apabila Beijing melaksanakan peraturan baharu bagi mengehadkan aktiviti pinjaman berlebihan.

Sejak itu, masalah dalam sektor hartanah telah menjejaskan ekonomi China dengan teruk, dan krisis hutang telah membawa kepada kejatuhan pemain utama pasaran seperti Evergrande.

Indonesia dalam beberapa bulan kebelakangan ini turut menahan dan mengusir beberapa individu yang diburu di negara asal masing-masing, walaupun tumpuan di seluruh Asia Tenggara lebih tertumpu kepada mereka yang terlibat dalam penipuan dalam talian. -AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH