fb fb fb fb fb

Banjir, tanah runtuh di wilayah tengah Vietnam ragut 14 nyawa

Banjir di Hanoi memusnahkan 7,000 hektar tanaman padi /AFP

HANOI, 18 November- Banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat dan tanah runtuh sejak malam 16 November telah melanda wilayah tengah Vietnam menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang maut, menurut Jabatan Pengurusan Daik dan Pencegahan Bencana di bawah Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar.

Wilayah Khanh Hoa melaporkan jumlah korban tertinggi, dengan tujuh orang disahkan maut dan dua lagi masih hilang, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Tujuh kematian itu bersama 19 orang yang cedera, berpunca daripada satu insiden serius di Laluan Khanh Le apabila runtuhan gunung menghempap sebuah bas yang membawa 32 penumpang dari Da Lat ke Quang Ngai pada lewat malam 16 Nov. Pemandu dan enam penumpang lain meninggal dunia di tempat kejadian.

Di bandar raya Da Nang, tiga orang dilaporkan hilang, manakala seorang hilang di wilayah Quang Tri dan seorang lagi di bandar raya Hue.

Tiga rumah turut dilaporkan rosak.

Banjir turut memusnahkan sektor pertanian, dengan kira-kira 7,000 hektar tanaman padi dan 430 hektar tanaman saka terjejas. Haiwan ternakan yang mati atau dihanyutkan banjir termasuk 357 ekor lembu dan hampir 4,900 ayam itik.

Banjir juga kembali melanda beberapa kawasan rendah, dengan hampir 14,924 rumah dinaiki air di seluruh wilayah tengah.

Pihak berkuasa tempatan telah memindahkan kira-kira 5,900 orang ke lokasi yang lebih selamat. -BERNAMA-VNA

SITI NOORAIN ABDULLAH