PAITA, 16 Mac- Seorang nelayan Peru pulang ke pangkuan keluarga selepas hilang 95 hari di Lautan Pasifik.
Maximo Napa keluar daripada rumahnya di Marcona, sebuah bandar di pantai selatan Peru, pada 7 Disember untuk memancing.
Ketika itu dia hanya membawa makanan untuk perjalanan selama dua minggu namun sepuluh hari kemudian cuaca ribut melanda hingga menyebabkan botnya tersasar dan akhirnya hanyut di Lautan Pasifik.
Keluarganya terus melakukan usaha pencarian namun peronda maritim Peru tidak dapat mengesan Napa sehingga Rabu, apabila peronda nelayan Ecuador menemuinya kira-kira 680 batu (1,094 kilometer) di luar pantai negara itu.
Ketika ditemui Namo mengalami dehidrasi teruk dan berada dalam keadaan kritikal.
"Saya tidak mahu mati," kata Napa selepas bertemu semula dengan abangnya, di Paita, berhampiran sempadan dengan Ecuador.
"Saya hanya makan lipas, burung dan yang terakhir saya makan ialah penyu," katanya.
Semasa sesat di lautan Namo sentiasa memikirkan keluarganya, walaupun ketika itu dia hanya bertahan dengan air hujan yang dikumpul di atas bot dan kehabisan makanan.
Sebelum ditemui, Namo menghabiskan 15 hari terakhir tanpa sebarang makanan.
"Saya memikirkan ibu saya setiap hari. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana masih diberi peluang kedua," katanya.
Sementara itu ibunya, Elena Castro pernah hampir putus harapan untuk menemui anak lelakinya itu meskipun ahli keluarga lain masih menantikan khabar gembira.
"Saya hanya berharap agar Namo dapat pulang sama ada dia hidup atau mati. Saya mahu dia kembali kepada saya, hanya untuk melihatnya," katanya kepada TV Peru.
"Tetapi anak-anak perempuan saya tidak pernah hilang kepercayaan. Mereka terus memberitahu saya: Ibu, dia akan kembali, dia akan kembali."
Napa dijadualkan menjalani lebih banyak pemeriksaan perubatan bagi memastikan keadaanya terus stabil.- Reuters