fb fb fb fb fb

Gaza: 25 terbunuh dalam empat serangan Israel

FOTO REUTERS

GAZA, 20 November- Sekurang-kurangnya 25 rakyat Palestin terbunuh dalam empat serangan udara tentera Israel di Gaza pada Rabu, kata pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Para petugas perubatan melaporkan 10 orang terbunuh di pinggir bandar Gaza City, Zeitoun, dua di pinggir bandar Shejaia, dan baki yang lain dalam dua serangan berasingan di Khan Younis.

Keempat-empat serangan berlaku melebihi “garisan kuning” yang telah dipersetujui, iaitu sempadan memisahkan kawasan di bawah kawalan Israel dan Palestin.

Serangan di Zeitoun mengenai sebuah bangunan milik pihak berkuasa tempatan manakala serangan di Khan Younis menimpa kelab yang diuruskan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Kumpulan Hamas mengecam serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai pelanggaran berbahaya dan menggesa Amerika Syarikat menekan Israel agar mematuhi gencatan senjata serta menghentikan serangan.

Sementara itu, tentera Israel mendakwa serangan tersebut menyasarkan kumpulan pejuang Hamas selepas kumpulan berkenaan dikatakan melepaskan tembakan ke arah tentera tersebut.

Namun, tiada sebarang korban dilaporkan oleh tentera Israel.

Gencatan senjata yang dimeterai pada 10 Oktober lepas berjaya meredakan konflik Israel-Hamas yang berlanjutan selama hampir dua tahun.

Gencatan tersebut membolehkan ribuan pelarian Gaza kembali ke kediaman masing-masing.

Meskipun begitu, keganasan dan pertempuran masih lagi berlarutan.Pihak berkuasa kesihatan Palestin melaporkan 305 penduduk Gaza terkorban sejak gencatan senjatata bermula.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD