WARSAW, 20 November – Poland mengumumkan akan menutup konsulat terakhir Rusia di wilayah Gdansk dan mengerahkan ribuan tenteranya bagi melindungi infrastruktur negara itu susulan letupan landasan kereta api yang didakwa didalangi Moscow.
Menteri Luarnya Radoslaw Sikorski, mendakwa letupan yang berlaku hujung minggu lalu di laluan Warsaw–Lublin, yang menghubungkan ibu negara Poland ke sempadan Ukraine, dilakukan oleh dua warga Ukraine pro-Rusia.
Sikorski, dalam satu sidang media berkata bahawa tindakan pertama Poland ialah menutup konsulat terakhir Rusia yang masih beroperasi di Gdansk, di utara negara itu.
Sebelum ini, Warsaw telah menutup konsulat Rusia di Krakow dan Poznan suslan insiden tersebut.
“Ia bukan sekadar perbuatan sabotaj tetapi juga satu tindakan keganasan negara,” kata Sikorski kepada anggota parlimen.
Sikorski turut berkata beliau akan meminta negara-negara Kesatuan Eropah lain mengehadkan pergerakan diplomat Rusia dalam kawasan Schengen.
Sejak pencerobohan penuh Rusia ke atas Ukraine pada 2022, Poland dan beberapa negara Eropah lain dilanda siri kejadian pembakaran, sabotaj dan serangan siber.
Sementara itu, Moscow menafikan penglibatannya dalam insiden tersebut dan menyifatkannya sebagai “russofobia”.
Moscow juga dilaporkan akan mengehadkan kehadiran diplomatik Poland di negara tersebut. - REUTERS