fb fb fb fb fb

Larangan wanita di institut perubatan: Krisis baharu sektor kesihatan Afghanistan

Foto AFP

KABUL, 5 Disember- Misi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ke Afghanistan menggesa Kerajaan Taliban supaya mempertimbangkan semula rancangan untuk melarang wanita melanjutkan pengajian di institut latihan perubatan.

Sumber kementerian kesihatan dan pengurus institut perubatan swasta memberitahu AFP bahawa kementerian kesihatan awam telah menerima arahan untuk menggantung kehadiran wanita di institusi tersebut.

Walaupun tiada pengesahan rasmi daripada kerajaan Taliban, pekerja institut menyatakan mereka diberikan tempoh 10 hari untuk mengadakan peperiksaan akhir sebelum larangan itu berkuat kuasa.

Misi Bantuan PBB ke Afghanistan menegaskan bahawa peraturan itu akan menambah sekatan terhadap hak wanita dan kanak-kanak perempuan.

"Secara keseluruhannya, langkah ini akan memberi kesan buruk kepada sistem penjagaan kesihatan Afghanistan dan pembangunan negara itu," menurut kenyataan tersebut.

Sumber kanan kementerian kesihatan memberitahu AFP bahawa larangan tersebut dijangka memburukkan lagi kekurangan kakitangan dalam sektor kesihatan.

"Kami telah menghadapi kekurangan tenaga kerja perubatan dan paramedik, dan tindakan ini akan memburukkan lagi situasi tersebut," katanya.

Kesatuan Eropah turut menggesa Taliban untuk membatalkan dasar diskriminasi itu, menyifatkannya sebagai serangan tidak boleh diterima terhadap akses wanita kepada pendidikan.

Larangan berkenaan menjadi sekatan terkini terhadap pendidikan wanita sejak Taliban mengambil alih Afghanistan pada 2021. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM