BERLIN, 25 Julai- Lapangan terbang paling sibuk di Jerman, Frankfurt, terpaksa menangguhkan sementara penerbangan, pagi ini selepas beberapa aktivis iklim menyekat landasan dengan melekatkan diri pada landasan.
"Penumpang diminta untuk tidak pergi ke lapangan terbang buat masa ini," kata lapangan terbang itu di media sosial X, dengan meminta mereka menyemak status penerbangan terlebih dulu dan turut mengumumkan masa perjalanan tambahan.
Badan aktivis iklim Last Generation dalam satu kenyataan, berkata enam penunjuk perasaan memotong pagar dan berada di pelbagai tempat di sekitar landasan lapangan terbang Frankfurt dengan poster bertulis 'pembunuhan minyak'.
Imej yang dikeluarkan oleh kumpulan itu menunjukkan penunjuk perasaan memakai jaket keselamatan berwarna jingga dengan tangan mereka dilekatkan pada landasan.
Jurucakap polis persekutuan pula mengesahkan, beberapa aktivis iklim berada di kawasan lapangan terbang.
Kumpulan itu turut menyenaraikan beberapa negara di seluruh Eropah dan Amerika Utara dalam rancangan gangguan sama sebagai sebahagian daripada kempen protes yang bermula, semalam.
Last Generation pada semalam juga mengulangi permintaannya agar kerajaan Jerman membantu membentuk dan menandatangani perjanjian global untuk mengawal selia pengeluaran minyak, gas dan arang batu secara berperingkat menjelang tahun 2030.
Semalam, Lapangan Terbang Cologne-Bonn Jerman, yang keenam terbesar di negara itu turut dilaporkan menggantung penerbangan selama beberapa jam, selepas aktivis iklim turut melekatkan diri mereka di landasan.
Tindakan serupa di lapangan terbang Eropah lain juga ada tetapi berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa.
Dalam sidang media, aktivis Last Generation, Ronja Kuenkler menyatakan, protes semalam, hanyalah permulaan namun enggan mengesahkan, Sukan Olimpik Paris, yang akan bermula pada hari Jumaat ini akan menjadi sasaran. - REUTERS