TOKYO, 11 Januari - Lapan pelajar universiti di Tokyo yang diserang oleh seorang wanita yang bersenjatakan tukul di dalam bilik darjah semakin pulih, dan tiada seorang pun yang memerlukan rawatan di hospital, menurut pihak universiti.
Seorang pelajar berusia 22 tahun yang mengaku dirinya sebagai warga Korea Selatan ditangkap di tempat kejadian pada Jumaat atas tuduhan serangan, kata seorang jurucakap polis Tokyo kepada AFP.
Beberapa laporan mengatakan bahawa individu-individu yang cedera dilihat berdarah di kepala selepas serangan tersebut, menurut penyiar awam NHK.
Seorang pelajar yang menyaksikan kejadian itu memberitahu penyiar TV Asahi Jepun, penyerang mula menghayunkan tukul secara "tiba-tiba" di dalam bilik darjah.
"Semua orang panik. Saya sangat takut pada mulanya sehingga tangan saya terketar-ketar," katanya.
Universiti Hosei dalam satu kenyataan pada Jumaat malam menyatakan lapan pelajar yang cedera menerima rawatan perubatan namun tidak memerlukan rawatan lanjut di hospital.
"Kami akan bekerjasama dengan pihak polis dalam penyiasatan dan mengawasi pelajar serta kakitangan yang terkejut dengan kejadian tersebut," kata universiti itu, menambah usaha akan dilakukan untuk "memastikan keselamatan kampus."
Jenayah kekerasan adalah kejadian jarang berlaku di Jepun berikutan kawalan senjata yang ketat.
Namun, terdapat kes-kes kejadian menikam dan tembakan, termasuk pembunuhan bekas perdana menteri Shinzo Abe dengan senjata buatan sendiri pada tahun 2022.
Pada Disember lalu, seorang pelajar sekolah menengah dibunuh dan seorang lagi cedera dalam kejadian di sebuah restoran McDonald's di barat daya Jepun.
Seorang lelaki kemudiannya ditangkap atas serangan tersebut.
Pada Januari 2022, tiga orang ditikam di luar Universiti Tokyo menjelang peperiksaan kemasukan universiti di seluruh negara.-AFP