fb fb fb fb fb

Ketua pemimpin Hamas terbunuh di Iran

Ketua pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh / AFP

TEHRAN, 31 Julai- Ketua pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan terbunuh di Iran.

Menurut laporan AFP, perkara itu telah disahkan Pengawal Revolusi Iran.

Sementara itu media tempatan Iran telah membuat pengumuman berhubung pembunuhan itu pada awal pagi Rabu dan perkara itu telah disahkan Hamas.

Menurut kenyataan Pengawal Revolusi Iran, Haniyeh dan pengawal keselamatan diserang ketika berada di satu lokasi kediaman di Tehran.

Haniyeh ke Tehran untuk menghadiri upacara angkat sumpah jawatan Presiden Iran baharu, Masoud Pezeshkian.

"Awal pagi ini, kediaman Ismail Hainiyeh di Tehran telah diserang, menyebabkan dia dan seorang pengawal peribadinya mati syahid. Siasatan kejadian sedang dijalankan dan akan diumumkan dalam masa terdekat", menurut kenyataan  Pengawal Revolusi Iran.  

Setakat ini belum ada pihak yang tampil bertanggungjawab atas kejadian tersebut.

Dalam perkembangan sama, Hamas menyatakan serangan tersebut didalangi Israel.

“Saudara, pemimpin, mujahid Ismail Haniyeh, ketua pergerakan, meninggal dunia dalam serangan Zionis di ibu pejabatnya di Tehran selepas beliau menghadiri pelantikan Presiden baharu (Iran),” kata Hamas dalam satu kenyataan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE