BUJUMBURA, 18 Disember- Seorang doktor Burundi mengkritik kerajaan kerana gagal menguruskan wabak mpox yang kini melanda hampir setiap daerah kesihatan di negara itu.
Dalam kenyataan yang diberikan secara tanpa nama, doktor tersebut menyifatkan tindakan pihak berkuasa sebagai "katastrofik, tidak bertanggungjawab dan jenayah."
Menurut sumber sama, wabak mpox yang dahulunya dikenali sebagai cacar monyet telah memberi kesan besar kepada kanak-kanak dengan laporan menunjukkan bahawa Burundi merupakan negara kedua paling terjejas di benua Afrika selepas Republik Demokratik Congo.
Data rasmi diperoleh AFP menunjukkan sebanyak 5,339 kes disyaki dari 25 Julai hingga 12 Disember dengan 50 peratus kes disahkan positif melibatkan 46 daripada 49 daerah kesihatan di Burundi.
Walaupun statistik tersebut mencurigakan, pihak berkuasa didakwa menyembunyikan perkembangan penularan wabak terbabit dengan menghalang kementerian kesihatan daripada menerbitkan data sebenar.
Doktor tersebut juga mendakwa kerajaan memilih untuk menutup maklumat dan menolak vaksin mpox yang ditawarkan oleh agensi antarabangsa yang sepatutnya dapat membantu dalam usaha membendung penularan penyakit tersebut.
Wabak mpox yang tersebar sejak September berlanjutan tanpa kawalan yang jelas, menambah ketegangan dalam negara yang kini sedang bergelut dengan isu-isu politik dan kemanusiaan yang berpanjangan. -AFP