fb fb fb fb fb

Kematian pelakon Matthew Perry disebabkan "kesan akut ketamin" - Laporan

Laporan bedah siasat koroner menyenaraikan "kesan buprenorphine," ubat yang digunakan untuk merawat gangguan penggunaan opioid, sebagai faktor penyumbang dalam kematian Perry yang dianggap sebagai kemalangan / Foto Reuters

LOS ANGELES, 16 Disember - Kematian pelakon Matthew Perry berpunca daripada "kesan akut ketamin," ubat penenang yang kadangkala digunakan untuk merawat kemurungan, selain penyakit jantung yang menjadi faktor penyumbang kepada kematian pelakon itu, lapor Pejabat Pemeriksa Perubatan daerah Los Angeles pada Jumaat.

Laporan bedah siasat koroner menyenaraikan "kesan buprenorphine," ubat yang digunakan untuk merawat gangguan penggunaan opioid, sebagai faktor penyumbang dalam kematian Perry yang dianggap sebagai kemalangan.

"Kaedah pengambilan yang tepat dalam kes Encik Perry tidak diketahui," kata laporan itu sambil menambah bahawa jumlah surih dadah ditemui dalam kandungan perutnya.

Ketamin dalam sistem badan Perry berkemungkinan terlalu merangsang degupan jantungnya sambil menekan pernafasannya lalu tidak sedarkan diri dan terjatuh dalam tab mandi, kata laporan itu.

Perry dilaporkan telah menjalani terapi infusi ketamin untuk kemurungan dan keresahan, di mana rawatan terakhirnya yang diketahui adalah seminggu sebelum kematiannya.

Perry, 54, yang terkenal dengan wataknya sebagai Chandler Bing pada tahun 1990-an dalam sitkom televisyen "Friends," ditemui tidak bernyawa di jakuzi rumahnya di Los Angeles pada 28 Oktober lalu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN