fb fb fb fb fb

Kejatuhan UNRWA bakal hancurkan generasi kanak-kanak Palestin

FOTO AFP

GENEVA, 14 Mac- Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran bahawa kejatuhan agensi itu akan mengorbankan satu generasi kanak-kanak Palestin daripada mendapat pendidikan, sekali gus "menyemai benih ekstremisme".

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, menyuarakan kebimbangan berhubung situasi kewangan yang semakin meruncing, memberi amaran bahawa terdapat risiko agensi itu akan runtuh dan hancur.

"Jika itu berlaku, kita pasti mengorbankan generasi kanak-kanak yang akan terhalang daripada mendapat pendidikan yang sewajarnya," katanya kepada AFP.

Selama lebih tujuh dekad, UNRWA telah menyediakan bantuan penting, termasuk pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, kepada hampir enam juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Lubnan, Jordan dan Syria.

Lazzarini menyifatkan agensi itu sebagai talian hayat bagi pelarian Palestin bawah tanggungjawabnya.

Bagaimanapun, UNRWA sering menjadi sasaran kritikan Israel, yang semakin memuncak selepas serangan Hamas di Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang dahsyat di Gaza.

Tuduhan Israel awal tahun lalu bahawa terdapat kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan itu menyebabkan beberapa negara bertindak menghentikan sementara sokongan kepada agensi tersebut, yang sememangnya berdepan kekurangan dana.

Awal tahun ini, Israel mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan UNRWA dan mengharamkan operasinya di wilayah Israel.

Walaupun masih boleh beroperasi di Gaza dan Tebing Barat, UNRWA kini dilarang berhubung dengan pegawai Israel, menyukarkan usaha menyelaras penghantaran bantuan secara selamat di wilayah Palestin.

Israel berpendapat peranan UNRWA boleh digantikan oleh agensi PBB lain atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Lazzarini mengakui bahawa jika objektifnya sekadar untuk membawa trak masuk ke Gaza bagi menangani krisis kemanusiaan akibat perang, pihak lain boleh mengambil alih tugas itu.

Namun, beliau menegaskan bahawa peranan UNRWA jauh lebih luas.

"Kami menyediakan perkhidmatan seperti kerajaan," katanya kepada AFP.

"Saya tidak nampak mana-mana NGO atau agensi PBB tiba-tiba mampu mengambil alih penyediaan perkhidmatan awam seperti ini."

Beliau turut memberi amaran bahawa kehilangan perkhidmatan pendidikan UNRWA akan membawa kesan buruk.

"Jika anda menghalang 100,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan di Gaza daripada mendapat pendidikan, jika mereka tiada masa depan dan sekolah mereka hanya runtuhan serta keputusasaan, saya boleh katakan kita sedang menyemai benih ekstremisme," tegasnya.

"Saya rasa ini adalah resipi untuk bencana."-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE