fb fb fb fb fb

Kebakaran di Perancis ada kaitan konflik antara pengedar dadah- Pendakwa raya

Polis forensik memeriksa pintu masuk bangunan kediaman yang terbakar di Nice, Perancis./ AFP

NICE, 23 Julai- Kebakaran yang mengorbankan tujuh orang termasuk tiga kanak-kanak di selatan Perancis minggu lalu dikaitkan dengan konflik dalam kalangan pengedar dadah, kata pendakwa raya pada Isnin.

Bercakap kepada pemberita, pendakwa raya Nice, Damien Martinelli berkata pihak berkuasa sedang giat memburu tiga suspek yang dikenal pasti, termasuk seorang remaja berusia 17 tahun.

Dua lagi suspek telah pun ditahan iaitu pemandu kereta berusia 25 tahun yang membawa penjenayah ke tempat kejadian dan seorang daripada disyaki membakar, berusia 21 tahun.

Merujuk kepada motif, Martinelli berkata penyiasat telah mengesahkan kaitan dengan konflik sekitar pengedaran dadah.

Blok pangsapuri itu terletak di kawasan kejiranan Moulins berpendapatan rendah yang dibelenggu keganasan berulang untuk mengawal tempat strategik.

Pendakwa raya menegaskan bahawa tujuh mangsa sama sekali tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pengedaran dadah.

Selain empat kanak-kanak itu, mangsa turut termasuk dua wanita berusia 22 dan 46 tahun serta seorang lelaki berusia 45 tahun yang terjun dari tingkap untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran.

Mangsa adalah ahli keluarga yang berasal dari Comoran.

Seorang lelaki berusia 23 tahun cedera parah selepas terjun dari tempat kebakaran manakala remaja berusia 17 dan 19 tahun diselamatkan oleh anggota bomba bersama penduduk dari flat berdekatan.

Penyiasat mendapati kesan kebakaran dimulakan di tingkat satu, dua dan tiga, manakala rakaman pengawasan menunjukkan tiga lelaki memecah masuk ke pintu hadapan selepas tiba dengan kereta.

Mereka bergegas meninggalkan bangunan itu sejurus kebakaran dilaporkan, kata pendakwa raya.

Seorang suspek telah ditangkap di Nice. Dia sendiri menghubungi polis melalui peguam, mendakwa dia telah dipaksa untuk memandu kenderaan yang membawa bahan bakar ke taman perumahan di barat Nice.

Pada hari Ahad, salah seorang yang disyaki suspek membakar telah ditangkap di Noisy-le-Grand, di pinggir timur Paris.

Pada Mac, Presiden Emmanuel Macron melancarkan operasi besar-besaran menentang pengedaran dadah di bandar-bandar Perancis termasuk Marseille di selatan, dengan mengatakan pertempuran antara mereka telah menjadikan kehidupan menjadi sengsara kepada penduduk.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI