NEW DELHI, 18 November- Kerajaan India mengarahkan semua sekolah di New Delhi menjalankan kelas secara dalam talian bermula Isnin.
Keputusan itu susulan udara toksik yang semakin parah, mencecah lebih 60 kali ganda had harian yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pelbagai inisiatif kerajaan dilaksana sebelum ini, gagal menangani masalah tersebut dengan berkesan.
Kabus beracun itu dipercayai menyebabkan ribuan kematian pramatang setiap tahun, terutamanya menjejaskan kesihatan kanak-kanak dan warga emas.
Pencemaran meliputi sebahagian besar utara India, termasuk bandar Agra di mana pelancong mengambil gambar Taj Mahal yang hampir tidak kelihatan akibat jerebu tebal.
Keadaan berkenaan turut dirasai penduduk Lahore, Pakistan yang berdekatan.
"Mata saya berasa pedih sejak beberapa hari lalu.
"Pencemaran atau tidak, saya tetap perlu berada di jalan raya. Ke mana lagi saya akan pergi.
"Kami tiada pilihan untuk duduk di dalam rumah. Kehidupan, makanan dan rezeki kami semuanya bergantung pada ruang terbuka," kata Subodh Kumar, seorang penarik beca berusia 30 tahun.
Setiap tahun, bandar New Delhi diselubungi kabus beracun yang berpunca daripada pembakaran tunggul tanaman oleh petani di kawasan berhampiran bagi membersihkan ladang mereka.
Selain itu, pelepasan asap daripada kilang dan kenderaan turut menyumbang kepada pencemaran udara yang kritikal.
The New York Times baru-baru ini mendedahkan bahawa loji kuasa yang membakar sampah dari timbunan tapak pelupusan turut melepaskan gas berbahaya ke udara, berdasarkan sampel yang dikumpul sepanjang lima tahun.- AFP