WASHINGTON, 15 Februari- Seorang jurutera Tentera Laut AS mengakui di mahkamah persekutuan pada Isnin cuba menjual rahsia tentang kapal selam nuklear kepada kuasa asing, kata Jabatan Kehakiman.
Jonathan Toebbe, 43, mengaku bersalah di hadapan hakim persekutuan, lebih empat bulan selepas ditahan bersama isterinya Diana Toebbe.
Sebagai pertukaran pengakuan bersalah, dia dijangka dijatuhkan hukuman penjara antara 12 hingga 17 tahun.
Isterinya, seorang guru, setakat ini kekal dengan pengakuan tidak bersalah dan meminta pembebasan untuk menjaga dua anak remaja mereka.
"Diana Toebbe secara sedar dan sukarela menyertai konspirasi untuk menyampaikan data sulit kepada orang lain dengan tujuan untuk mendapatkan kelebihan daripada negara asing dan melakukan pelbagai tindakan terang-terangan dalam meneruskan konspirasi itu, termasuk bertindak sebagai ‘peninjau’ sementara Toebbe bertugas,” kata dokumen itu.
Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak menyatakan negara mana pasangan itu cuba menjual maklumat mereka.
Dokumen itu membayangkan bahawa ia adalah sekutu Amerika yang bahasa utamanya bukan bahasa Inggeris.
Kapal selam nuklear AS berada di tengah-tengah krisis diplomatik yang hangat September lalu, apabila Australia membatalkan perjanjian mega dengan Perancis untuk mengumumkan perkongsian strategik dengan Amerika Syarikat dan Britain.
Jabatan Kehakiman berkata dalam kenyataannya bahawa Toebbe telah bertugas sejak 2012 dalam reka bentuk reaktor untuk kapal selam kelas Virginia, generasi terbaharu kapal selam penyerang dalam armada AS.
Pada April 2020, dia telah menghantar pakej ke negara asing dengan set dokumen awal dan arahan untuk mewujudkan hubungan melalui alamat pemulangan di Pittsburgh, Pennsylvania. Pakej itu mengandungi "sampel data sulit dan arahan untuk mewujudkan hubungan rahsia bagi membeli data tambahan," kata Jabatan Kehakiman.
"Toebbe mula berhubung dengan individu yang dipercayainya sebagai wakil kerajaan asing melalui e-mel. Individu itu adalah ejen FBI yang sedang dalam penyamaran“ kata DoJ.
Selama beberapa bulan, Toebbe menerima bayaran yang semakin banyak dalam mata wang kripto dan menyembunyikan kad SD yang sarat dengan rahsia yang dicuri di dalam sandwic mentega kacang, dalam satu paket gula-gula getah dan dalam pembungkus Band-Aid.
Menurut dokumen mahkamah, negara yang Toebbe percaya dia menjual rahsia itu telah bekerjasama dengan FBI, sehingga meletakkan bendera di kedutaan Washington untuk mendapatkan keyakinan tentera marin itu.- AFP