TOKYO, 27 Februari - Kadar kelahiran bayi di Jepun mencatatkan rekod terendah pada tahun 2023, data itu dikeluarkan pada Selasa.
Bilangan kelahiran turun sebanyak 5.1% daripada tahun sebelumnya kepada 758,631, manakala bilangan perkahwinan merosot 5.9% kepada 489,281.
Situasi itu menggambarkan keadaan itu akan terus berlaku pada masa akan datang.
Ditanya mengenai data terkini, jurucakap tertinggi kerajaan Jepun berkata kerajaan akan mengambil langkah yang belum pernah dilakukan sebelum ini dalam usada menangani penurunan kadar populasi negara itu.
Langkah itu seperti memperluaskan penjagaan kanak-kanak dan mempromosikan kenaikan gaji untuk pekerja lebih muda.
"Kadar kelahiran yang menurun berada dalam keadaan kritikal.
"Enam tahun akan datang atau lebih hingga 2030, apabila bilangan orang muda akan menurun dengan cepat, akan menjadi peluang terakhir untuk membalikkan arah aliran." kata Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi kepada pemberita.
Menyedari kesan terhadap sosial, ekonomi dan tekanan terhadap kewangan awam, Perdana Menteri Fumio Kishida telah menggelarkan trend itu sebagai krisis paling teruk yang dihadapi negara itu disamping mendedahkan pelbagai langkah untuk menyokong kelahiran anak.
Menurut Institut Penyelidikan Penduduk dan Keselamatan Sosial Kebangsaan, penduduk Jepun berkemungkinan akan berkurangan hingga 30% kepada 87 juta menjelang 2070, dengan empat daripada setiap 10 orang berumur 65 tahun ke atas. - REUTERS