fb fb fb fb fb

Israel lancar serangan udara di Damsyik- Media Syria

FOTO FAIL/AFP

DAMSYIK, 11 Disember- Israel melancarkan serangan udara berhampiran ibu negara Syria, Damsyik pada Ahad malam, menurut agensi berita Syria, SANA.

"Pada kira-kira 23:05, Israel melakukan serangan udara dengan menyasarkan pelbagai tempat di pinggir Damsyik.

"Pertahanan antipesawat kami menembak jatuh beberapa peluru berpandu, sementara kemudahan lain mengalami kerosakan kecil," menurut sumber jurucakap keselamatan kepada agensi itu.

Wartawan AFP melaporkan letupan kuat kedengaran di pinggir bandar Damsyik, yang sebelum ini turut menjadi sasaran serangan Israel.

Badan pemantau perang berpangkalan di Britain, Syrian Observatory for Human Rights, berkata serangan itu menyasarkan tapak Hizbullah di daerah Sayeda Zeinab dan berhampiran lapangan terbang Damsyik.

Tentera Israel biasanya enggan mengulas mengenai kejadian seperti itu, tetapi menyatakan tembakan sudah dilepaskan dari Lubnan ke arah utara Israel pada petang Ahad.

"Tentera bertindak balas dengan menyasarkan punca serangan. Pada awal hari ini, kami sudah menyerang tempat Hizbullah," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua tentera Israel, Herzi Halevi melawat tenteranya berhampiran sempadan utara dengan Lubnan pada Ahad, tempat beliau bercakap tentang keperluan untuk menamatkan operasi Hizbullah.

"Operasi ini boleh dalam bentuk serangan dan peperangan," katanya.

Israel pernah menyatakan tidak akan membenarkan musuh ketatnya Iran, yang menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad, meluaskan bantuan mereka di Syria menerusi Hizbullah.

Israel telah melancarkan ratusan serangan udara ke atas jirannya di utara sejak perang saudara Syria bermula pada 2011, terutamanya menyasarkan tentera yang disokong Iran termasuk pejuang Hizbullah, serta kedudukan tentera Syria.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI